Saturday, March 7, 2015

Dia Suamiku





 “Manja abang!” tersentak aku dari lamunan indah bila terdengar nama sweet aku dipanggil dengan nada begitu. Cepat-cepat aku letak sudu yang aku guna untuk kacau air ke dalam sinki dan bergegas aku berlari ke bilik.
“Iye hubby. Kenapa menjerit macam tarzan ni?” lembut aku bertanya dalam mengah. Mataku terus tertancap pada sebatang tubuh yang tegap berdiri dihadapan cermin. Ditangannya memegang sehelai kemeja berwarna maroon berkolar putih.
Dia memandang ke arah aku dengan wajah yang serius. Ada hal apa pulak la hubby aku ni. Seingat aku semua pakaian yang dia nak pakai hari ni sudah aku gosok kemas semalam. Apa lagi yang dia tak puas hati, aku pun tak tahu.
“Manja abang, kenapa buat kerja careless sangat ni? Kan abang dah pesan, gosok baju abang betul-betul. Jangan buat sambil lewa aje.” dia bersuara lembut walaupun riak mukanya nampak serius.
“Kenapa hubby?” aku mendekatinya. Blurr pulak aku pagi-pagi macam ni.
“Ni baju abang. Manja abang gosok tak betul. Jadi dua line.” dia tunjuk pada aku kemeja ditangannya.
“Ya Allah hubby, sikit aje tu. Pakai aje la. Bukan orang nak perasan pun.”
“Tak nak la! Manja abang pergi la gosok semula, abang nak pakai ni.” dia buat muka poyo manja kat aku. Suami aku ni, tadi muka serius bukan main lagi. Dah macam nak baham aku hidup-hidup saja gayanya. Tapi bila request aku gosok kemeja dia semula, mahu pulak buat muka gitu. Aduhai encik suami.
Itulah suami aku. Dia bukan la hensem, macho atau perfect 10 macam lelaki-lelaki lain. Dia hanyalah lelaki biasa-biasa saja. Rupa parasnya pun setakat selesa pada mata aku. Kulit hitam manis. Bak kata orang tua-tua, senyum pun nampak gigi saja. Hehehe... tapi aku menyayangi dan mengasihinya sepenuh hati aku. Tapi kalau bab dress up, Allahuakhbar!! Memang cerewet! Aku pun kalah kalau tunggu dia bersiap.
“Iye la... iye la... kita gosok semula,” aku mengalah. Baju ditangannya aku ambil untuk digosok semula. Sambil-sambil tu aku kerling suamiku dari hujung mata. Aku tengok dia capai  seluar slack yang tergantung dipenyangkut baju. Lepas tu aku tengok dia belek-belek seluar tu dan bila dah puas hati, dia terus menyarungnya.
“Lambat lagi ke manja abang?” dia mendekati aku. Terasa pinggang aku dipeluknya dari belakang.
“Tak adanya lambat hubby. Sikit aje ni,” bibirku mengukir senyum.
“Abang sayang manja abang ni.” dia bisik perlahan ditepi telingaku. Lebar berinci-inci senyum dibibir aku ni. Hati aku pulak jangan nak kata la, bermangkuk-mangkuk kembangnya. Hehehe, bangga betul aku dapat suami penyayang begini.
“Baju hubby dah siap. Tak nak pakai ke?”
“Bak sini. Dah lewat abang  pergi kerja. Tak sempat rasanya abang nak sarapan agaknya ni.”
“Hubby kita ni kerja sendiri aje. Kerja kat kandang lembu dan kandang kambing pulak tu. Jadi tak payah la nak poyo sangat!” hidungnya aku tarik lembut.
“Hehehe... poyo-poyo pun manja abang ni sayang, kan?” hidung aku pulak di cuitnya. Alahai, sweetnya suami aku ni!!!
“Sarapan dulu yeh hubby.” pintaku lembut. Butangnya kemejanya aku kancingkan.
“Ermm... tak apalah. Abang dah lambat ni.” dia berjalan ke arah cermin. Mukanya dirapat sikit pada cermin dan kemudian sikat diambil lalu dibetul-betulkan rambut yang tak kemas.
“Ermm... penting lagi ke lembu-lembu dan kambing hubby dari kita?” aku tarik muka. Sengaja aku lempar renungan mata ni keluar ikut jendela yang aku selak tirainya.
“Manja abang ni merajuk ke?” dia berpaling pada aku. Cepat-cepat aku sorok muka mencuka tadi. Terasa pulak hati ni bila penat lelah aku sediakan sarapan pagi tak disentuh suami. Saja  hati ni nak main touching-touching emo.
Telinga aku menangkap bunyi derapan tapak kakinya menghampiri aku yang masih berdiri ditempat tadi. Terasa tangannya memegang kedua-dua tanganku lalu dibawa melilit kepinggangnya.
“Manja abang nak berdiri jadi tugu kat sini aje ke? Tak nak sediakan sarapan untuk abang?”
Aku berpaling memandang wajah tak hensem suami aku. Terukir lesung pipit dikedua pipi bila dia senyum. Dan- dan aku rasa diri ni dihargai. Poyo pulak aku! Hehehe.
Laju aku menapak keluar dari bilik untuk ke dapur. Riang ria pulak hati ni. Tapi langkah aku terhenti belum sempat sampai di muka pintu bilik bila mana pergelangan tanganku disambar. Berdegup sumbang pulak jantung aku ni.
Perlahan-lahan aku ditarik kepangkuannya. Terasa saja tangannya lembut memeluk pinggang aku. Aahh! Jantung aku nak meletup!!!
“Serikan lah hari-hari abang dengan senyum manis manja abang ni. Especially waktu pagi. Abang perlukan senyuman dari manja abang ni untuk menjana derapan semangat abang untuk mencari rezeki. Jangan muncung macam tadi lagi ya sayang.” dia panggil aku sayang plak dah. Aku dah nak terkulai jatuh ni!
“Boleh tak manja abang?” pandangan matanya terus menikam anak mata aku dan terus sampai ke dasar hati.  Laser asmara penangan dari suami sendiri buat hati aku angau!!
“Boleh aje hubby.” aku senyum manis untuk suami tak hensem aku ni.  Rasa tak keruan dalam hati ni aku sembunyikan dengan berlagak selamba poyo.
Dia senyum dan mengucup dahiku. Perrghh!! Mahu saja aku pausekan saat dan tika ni agar tidak berlalu.
Love you, manja abang.” memuncak adrenalina aku saat kata-kata tu terbisik lembut ditelinga ni. Lemah segala sendi.
Terdiam aku tanpa kata. Walaupun usia perkahwinan aku sudah mencecah dua bulan lebih, hati aku ni tetap dup dap, dup dap dikala mana scene macam ni berlangsung. Sungguh aku tak boleh kawal.
“Manja abang pergi ke dapur dulu. Abang nak sediakan kasut kerja abang.” suruhnya. Aku senyum dan terus berjalan keluar. Lebar sungguh senyum aku kali ni. Aku dapat rasa senyum aku ni dah sampai selebar lima belas inci. Lebar sungguh!
Menyanyi-nyanyi riang aku di dapur. Selesai aku sediakan sarapan, aku kembali dapatkan suamiku yang sedang duduk dikerusi diluar rumah. Aku tengok dia tengah kiwikan kasut kerjanya. Kasut booth getah dia kiwi! Alahai suamiku.
Hubby, sarapan dah siap. Jom kita sarapan,” bahunya aku sentuh.
“Okey manja abang.” dia bangun dan terus berjalan kedapur.
Aku tengok kasut booth getah tu. Senyum bibir aku ni bila aku teringat kembali sebelum dia bergelar suamiku. Masa tu suami aku ni memang dah jadi pujaan anak dara kampung ni. Bukan saja anak dara, mak janda pun teringin nak try. Budak kampung tak hensem macam tu pun boleh jadi hottest. Tepuk dahi aku. Entah apa taste la diorang ni bisik aku, bila kali pertama aku tengok dia.
Aku budak bandar yang balik bercuti ke rumah saudara belah ayah aku. Walaupun aku dibesarkan dibandar, aku tak la bersikap perkauman. Maksud aku pandang sengkek kat budak kampung. Aku okey saja kat mana-mana pun. Kat kampung aku ada kawan baik nama Rea Erina. Rea ni memang cantik. Ratu kampung la katakan. Aku tahu pasal hubby aku ni pun dari Rea laa. Banyak sangat gosip hot pasal dia aku dengar buatkan aku nak tengok rupa paras tuan punya diri.
Suatu hari tu, aku dengan Rea sengaja lalu tempat kerja dia. Motifnya aku nak sangat tengok budak hot kampung yang jadi kegilaan sangat tu. Nak tengok hensem takat mana yang boleh buat semua gadis dan mak janda angau tahap gaban. Dalam setengah jam menunggu aku tengok kelibat seorang mamat ni. Gelak berdekah-dekah aku bila aku tengok dia pakai. Kerja kat kandang lembu dan kambing, dress up macam kat pejabat. Kemas berbaju kemeja siap masuk  dalam lagi. Rambut berkilat sikat tepi. Hahaha.
“Kau gelak apa?” cengang Rea tengok muka aku.
“Skemanya mamat tu!” kata aku kuat sambil ketawa. Memang aku tak boleh tahan gelak tengok mamat tu.
“Hoi! Apa menghendap-hendap ni? Nak curi lembu, kambing orang ke?” satu sergahan kuat buat aku terkejut. Terus mati gelak aku.
Hello anney, kita sini mari mau lihat-lihat kawasan. Mana mau teringin culik itu lembu, kambing.” aku bersuara dalam loghat india.
“Sapa anney?” garang sungguh dia soal aku.
“Kamu la anney. Kamu orang india pun tak tahu ke apa tu anney?”
“Ooii cik kak! Bila masa pulak kita ni tukar agama?”
“Haaa?” aku pulak cengang. Rea yang berdiri disebelah aku ketawa sambil tutup mulut.
“Apa haaa? Jangan nak ubah topik cover story. Baik mengaku, awak nak curi lembu kita yer?”
“Ooii, kita sini datang bukan nak curi la. Kita nak tengok orang.”
“Orang mana? Awak jangan nak buat hal. Kita report orang masjid nanti.”
“Ooitt! Report orang masjid ke orang kuil?” aku jegil mata kat dia. Aku dapat rasa yang mamat india ni nak cari pasal dengan aku. Rea yang berdiri kat sebelah aku gelak aja tak habis.
Kami berlawan mata. ‘Manis jugak mamat india ni.’ bisik hati aku. Telefon ditangan aku pusing-pusing. Tup-tup telefon tu jatuh. Alamak! Mata aku terbeliak. Aku angkat tangan minta take five sebab nak ambil telefon. Tanpa ada persetujuan dari dia, aku terus tunduk dan capai telefon yang jatuh atas rumput. Masa tu aku terpandang kasut booth getah dia. Lagi sekali pecah ketawa aku.
“Ooii, kau dah kenapa?” Rea tampar bahu aku.
“Berganda-ganda skemanya mamat india ni!!” terkeluar ayat tu disebalik ketawa yang tak dapat aku bendung.
“Kasut booth getah  dia gila shining! Kamu buh kiwi yeh? Hahahaha...” mukanya aku pandang.
“Biar la...” selamba saja dia kata gitu.
“Haaa? Hahahaha...” lagi kuat ketawa aku.
Agaknya Rea malu dengan ketawa aku yang bagai dirasuk tu, dia terus pegang tangan aku dan heret aku pergi.
“Kau tahu tak siapa mamat yang kau panggil anney tu?” Rea berhenti dan memandang tepat kemuka aku.
“Mana aku tahu... anak wakil rakyat tempat ni ke?” aku jungkit bahu. Muka toya hampa aku tayang bila hajat nak tengok mamat hottest kampung dibantut dengan pertemuan dan sengketa mulut dengan mamat tamil nadu.
“Kalau kau nak tahu, tu la mamat yang jadi kegilaan mak janda dengan anak dara kat kampung ni. Tu la mamat yang kau nak tengok sangat tu.” sebaik saja dengar Rea cakap gitu, mata ni aku buka luas-luas. Terkejut tahap super terkejut aku. Terkedu lidah ni untuk berkata-kata.
“Dah-dah dengan terkejut kau.”
“Kau biar betul Rea. Mamat india tu?” tak habis lagi dengan mata terbeliak aku. Rasa terkejut datang bertimpa-timpa.
“Dia melayu la. AJK masjid tu.” Rea terus berjalan meninggalkan aku yang masih tercengang. Aku kembali terbayang muka mamat tadi. Memang tak hensem langsung.  
****
Malam tu mak saudara ajak aku ke  masjid. Ada majlis tahlil katanya. Aku okey saja. Berbaju kurung dan berselendang labuh aku melangkah ayu di belakang mak saudara aku dan jugak Rea. Sebaik kaki melangkah anak tangga pertama masjid aku terpandang mamat tu (hubby aku sekarang) kat tempat parking motorsikal. Ya Allah!! Berbaju melayu siap bersampin lagi. Eeii! Poyonya. Dia ni datang nak bersolat ke terus nak bernikah? Berteka-teki aku dalam hati.
Aku tengok mak saudara aku dengan Rea dah masuk dalam masjid. Aku sarut kembali kasut dan pergi mendekati mamat tu.
“Hai mat smart! Ni datang nak akad nikah terus ke lepas solat Isyak?” perlahan aku menegur dia yang sedang membetulkan serbannya. Sempat lagi aku bagi gelaran dekat dia.
“Haaa?”
“Tak payah nak terkejut sangat la. Dah la pakai pelik dari orang. Ingat nak solat raya ke apa dress up gini. Dah rupa nak menikah pun ada.” sesedap aku saja kutuk dia.
“Yang cik kak ni sibuk sangat kenapa? Kita ikut sunnah. Nak mengadap Maha Esa. Adalah baik kita berpakaian cantik dan kemas. Jangan ingat nak hadir untuk event tertentu aje kita pakai cantik-cantik. Berbangga dan riak pada pujian yang diberi. Padahal semua yang kita miliki adalah pinjaman dah sudah pastinya tak akan kekal.” habis saja dia cakap macam tu, terus dia berjalan masuk dalam masjid. Terpukau tahap terkancing gigi aku disitu. Memang tak terkata aku bila kena bidas dengan ayat macam tu. Nak saja aku masuk dalam masjid berselubung dengan telekung.
Setelah selesai solat dan majlis tahlil kami semua beransur pulang. Aku dan Rea menunggu mak saudara aku yang masih lagi berada dalam masjid. Aku tunduk ke bawah sambil menguis pasir dengan kaki perlahan-lahan.
“Cik kak, jangan mengenali dan menilai orang dari zahir yang kita nampak. Tapi selamilah hati dan jiwanya. Baru kita memahami apa yang ada dalam fikirannya. Jika kita memahami seseorang tu sudah pastinya kita akan mengenalinya.”  Aku terus mendongak. Terpampang di depan mata wajahnya dengan senyum yang cukup mesra alam.
“Manja abang ni, kenapa senyum tak ajak abang sekali?” pinggang aku dirangkulnya dari belakang dan satu ciuman singgah dipipi.
“Eh! Hubby dah makan ke? Maaf la yeh. Terlanjur pulak manja abang ni mengimbau saat pertemuan kita. Skema aje kita tengok hubby kita masa tu. Sekarang pun masih sama lagi. Padahal kerja kat kandang aje.”
“Manja abang,” badanku dipusing mengadapanya. “Perut abang ni dah kenyang bila tengok senyum yang terukir dibibir ni.” bibir aku disentuh lembut dengan jari manisnya. Malu-malu pulak aku bila dia buat macam tu.
“Berpakaian cantik dan kemas melambangkan keperibadian seseorang juga membina daya keyakinan diri, kestabilan cara kita berfikir dalam mencorak perjalanan kehidupan  seharian menguruskan kerjaya serta keluarga. Tapi untuk nampak lebih macho pun termasuk dalam senarai jugak laa. Hehehe,” dia ketawa kecil.
“Poyo!” aku tampar lembut dadanya. Berderai ketawa aku dan suamiku di muka pintu. Walaupun suamiku ni boleh dikategorikan dalam kelas mat smart plus poyo, seperti yang aku pernah kata sebelum ni la, aku amat menyayanginya dan mengasihinya. Semoga perjodohan ni kekal hingga ke Syurga.
Amin.
Tamat.
Blues tetap dihati © 2008 Template by:
SkinCorner