Friday, June 12, 2015

cerpen- Singgahan Kasih



Singgahan Kasih
Zafina Erisya lagak bagai jejaka hensem, berjalan bagai jejaka macho. Keperibadian tak tumpah macam lelaki. Berambut pendek berluar jeans dan bert-shirt. Orangnya tak kurus dan sedang-sedang elok dengan ketinggiannya. Tumpuan yang sukar untuk dialihkan adalah pada game. Tempat yang tak pernah dia abaikan untuk pergi adalah gym. Berkenan sungguh dia dengan tempat tu. Kononnya untuk stamina.
Rutin pagi Zafina Erisya digym. Sekarang dia tengah take five untuk kembalikan stamina. Dia termenung dikerusi yang telah disediakan sambil melihat sekeliling.
“Aku sayang dan kasihkan kau Zaf.” itulah kata-kata keramat yang asyik terulang dalam kepalanya. Kata-kata yang dilafaz oleh seseorang yang dia sendiri tak sangka.
“Zaf, petang ni apa program kau?” sapaan Afiq Danial melenyapkan butir-butir patah kata yang terngiang ditelinganya tadi.
“Petang ni aku lepak rumah jer. Kenapa? Kau ada niat nak ajak aku lepak ke?” kain tuala kecil diambil dari beg sandangnya. Peluh yang meleleh diseka.
“Aku dapat jemputan ke satu majlis ni. Jom  ikut aku. Segan la aku nak pergi sana sorang-sorang.”
“Kau dapat jemputan majlis?” dia memandang Afiq Danial atas bawah berulang kali.
“Tak payah kau nak buat muka cengang. Normal la orang macam aku dapat jemputan. Aku kan ada bau-bau bacang bertaraf VVIP. Jadi kau tak payah nak heran sangat.”
“Hehehe... Iye, iye. Tapi... Ish! Kau ni...” Zafina Erisya buat muka teragak-agak dengan ajakan Afiq Danial.
“Jom la Zaf teman aku.” Afiq Danial bersuara seakan-akan merayu.
“Malas la aku. Kau ajak la awek cun kau tu.” dia bangun dan berjalan keluar dari gym.
“Awek aku balik kampung la. Katanya ada kenduri kawen belah akak saudara dia.” Afiq Danial membuntuti Zafina Erisya.
“Adoi... Apa kebaikkannya aku ikut kau pergi majlis tu?” dia berhenti melangkah. Muka Afiq Danial dipandang tanpa riak.
“Tadak apa sebetulnya. Tapi jom la. Aku teringin nak pergi majlis grand macam tu.” Afiq tayang muka kesian. Minta persetujuan Zafina Erisya.
“Okey laa... Aku setuju. Tapi dengan syarat, tadak siapa tau siapa aku.” dia sengeh pandang muka Afiq Danial.
“Iye. Itu aku tau la. Bukan kali pertama kau pesan aku macam tu. Memang acap kali kita keluar kau pesan. Dah penuh telinga aku dengan pesanan yang sama dari kau. Pesanan awek aku pun dah tak boleh nak masuk,” Afiq lepas keluh.
“Mengeluh kau dapat kawan banyak songeh cam aku ni. Hehehe...” dia terus berjalan ke arah motorsikal besarnya sambil Afiq Danial ikut dari belakang dengan senyum.
‘Woi! Tak payah senyum happy sangat. Kang cium tiang kau berangan dapat pergi majlis grand.” dia menyarung helmet dan kemudiannya mereka meneruskan perjalanan merentas lautan jalan raya.
****
“Zaf!!! Jerit Afiq Danial dari luar pagar rumah Zafina Erisya.
“Iye, iye aku datang ni.” kalut dia menyarung kasut dan menghampiri kereta Afiq Danial. “Kau dah kenapa  gila jerit nama aku gitu. Malu tau tak dengan jiran sebelah menyebelah.” terus dia bebel Afiq Danial sebaik dia masuk dalam kereta.
“Dah kau tu lambat sangat kenapa? Bersolek ke? Kau touch up kat mana? Aku tak nampak pulak bedak atau gincu kat muka ngan bibir kau.” Afiq merenung muka Zafina Erisya.
“Aku baru bangun la masa kau datang tadi. Aku terlena lepas solat zohor.” dia buat muka tak bersalah.
“Adoi... Kau ni memang tomboy paling senget la penah aku jumpa.” Afiq Danial geleng kepala.
Zafina cuma tersenyum. Tali pinggang keselamatan ditarik menyilang ke badannya.
“Dah, dah. Kau tak payah nak usha aku lebih-lebih. Karang kau cair lak dengan kemachoan aku ni. Untuk pengetahuan kau, macho aku khas untuk awek je. Kau tak tersenarai. Sekarang jom blah.”
“Ceh! Tak habis dengan macho. Blah aar kau. Tomboy senget!” Afiq tukar gear kereta dan terus meluncur laju merentas jalan raya.
“Thanks bro. Kau sedar jugak yang aku ni senget.” selamba saja dia sengeh.
Afiq Danial terus memandu tanpa dia hiraukan Zafina Erisya disebelah yang sedang asyik dengan PSPnya. Zafina Erisya memang hantu game. Kemana saja dia pergi, PSPnya memang tak pernah dilupa bawa. Berkepit saja dia dengan PSPnya tu.
“Zaf! Telefon kau bunyi tu.” Afiq Danial menepuk paha Zafina Erisya.
“Opocot! Kau apahal tampar aku? Kepingin nak kena sekeh aku ke ni?”
“Kepala hotak kau! Tu telefon kau bunyi.” muncung mulut Afiq Danial tunjuk arah telefon Zafina Erisya.
“Owh.” telefon dicapai dan dia terus menjawab panggilan tu.
“Hello, assalamualaikum...” kata salam diberi. Bibirnya ukir senyum bila salamnya dijawab lembut.
“Iye. Aku dengan Afiq. Dalam perjalanan nak pergi ke satu majlis. Kenapa yer?”
Afiq Danial menjeling sekilas. Dia nampak wajah Zafina Erisya berkerut seribu. Kemudian dia tengok Zafina Erisya anguk berkali-kali.
“Okey. Esok aku datang. Iye, iye. Aku datang. Dah-dah pergi buat keja.” talian dimatikan.
“Apa kes Zaf? Serius aje aku tengok.”
“Tadak apa. Kes kecik jer.” dia  menghela bagai mengeluh.
Afiq terus memandu. Setengah jam kemudian mereka pun sampai. Mereka melangkah masuk. Zaf berdiri disuatu sudut. Keriuhan majlis tu langsung tak terkesan dihatinya. Sesuatu sedang bergolak dalam jiwanya.
****
Lepas solat subuh, Zafina Erisya terus menunggang motorsikalnya membelah arus jalan raya yang masih kurang sesaknya. Hatinya yang kacau bilau masih rancak bergolak. Dia kena selesaikan perkara tu secepatnya. Nekad naluri kecilnya.
“Assalamulaikum...” Zafina Erisya memberi salam setelah dia turun dari motorsikalnya. Rambut yang kusut disikat  kebelakang dengan tangan setelah helmet dibuka.
“Waalaikumussalam... Laa, Zaf rupanya. Kenapa datang tak telefon dulu.” wajah yang masih cantik walaupun sudah ada garis-garis kedut menjengah dimuka pintu.
“Hehehe... Saje nak suprisekan makcik Zaf yang cantik molek ni.” senyum ramah Zaf terukir dibibir. Tak sunyi bibirnya melontarkan kata pujian berbaur usikkan..
“Meh naik Zaf. Patut la hati makcik ni teringin sangat nak buat sambal sotong. Rupanya Zaf nak datang. Hehehe...”
“Haaa? Makcik buat sambal sotong? Aduh! Makcik dah buat saya lapar ni.” laju Zafina Erisya menapak anak tangga rumah.
“Amboi... Makin tegap anak makcik sorang ni. Kerja macam mana? Okey tak?”
“Kerja okey makcik. Qirroh mana?” matanya meliar mencari.
“Qirroh ada di rumah mak saudara dia kat hujung kampung tu. Kejap lagi balik la tu. Zaf pergi la rehat dulu. Nanti siap lauknya makcik panggil.”
“Iye makcik.” Zafina Erisya masuk dalam bilik. Dia dah memang biasa bertandang ke sini. Jadi memang tak kekok la dia dengan suasana rumah tu.
Badannya dihempas atas tilam. Beberapa minit kemudian dia bangun dan berjalan menuju ke jendela yang terbuka. Angin petang menyapa mukanya. Damai dan tenang sekali dia rasa. Matanya dipejam.
Tiba-tiba dia terasa  badannya dipeluk dari belakang.
“Aku terlalu rindukan kau. Terima kasih kerana sudi datang.” kata-kata tu singgah di gegendang telinganya.
“Haa?” Cepat dia kalih dan menolak tubuh tu. Pintu bilik dilihat dah tertutup rapat. Gerangan yang berdiri didepannya dipandang. Ada senyum kegembiraan terukir diwajah tu.
“Apa kau cakap ni? Aku sudi datang sebab nak bincangkan hal tu. Bukan mengiyakan dan terima huluran kasih kau. Kau milik orang, sedar diri tu sikit!” suara Zafina Erisya perlahan tapi tegas.
“Aku tahu dan aku sedar. Tapi aku tewas dalam mengekang rasa yang hadir ni. Aku sendiri kusut kenapa rasa ni terlalu kuat untuk kau!”
“Kau sedar tak Qirroh, apa yang kau rasa tu hanya mengundang derita yang kau sendiri sudah sedia maklum akannya.”
“Aku tahu Zaf.” Qirroh tunduk memandang lantai.
“Sudah laa... kesian Afiq. Dia betul-betul sayangkan kau. Dia pernah cakap dengan aku, yang dia nak kau jadi permaisuri hidupnya. Dia hanya nak kau Qirroh. Buka la pintu hati kau untuk dia. Dah lama dia menunggu kau. Kau sendiri boleh nampak kasih yang dia curah untuk kau, kan?”
“Zaf, aku nampak semua tu. Tapi hati aku ni, arahnya hanya pada kau. Langsung tiada untuk Afiq!”
“Aduh... Dah la Qirroh.” Zafina Erisya melangkah keluar. Namun jemarinya cepat disambar Qirroh.
“Aku sayangkan kau. Tiada pernah sekali hati ni berpaling dari terus mengasihi kau.”
Tanpa berpaling dia menarik jemarinya dan terus keluar dari biliknya. Dia terus berlalu ke dapur.
“Makcik! Harumnya sambal sotong ni. Perut Zaf dah berlagu sakan ni. Zaf nak makan sekarang la makcik.” dia terus duduk dimeja makan.
“Anak makcik ni. Memang tak boleh langsung dia dengan sambal sotong.” kepala Zafina Erisya digosok perlahan.
Qirroh datang  ke dapur. Langkahnya longlai. Dia memandang Zafina Erisya yang sedang makan dengan lahapnya. Tercuit sedikit hati lesunya melihat telatah Zafina Erisya bila jumpa sambal Sotong. Macam anak kecil saja lagaknya.
“Kamu dah balik Qirroh? Malam nanti ada lagi ke?”
“Ada lagi mak. Tapi Qirroh tanak pergi la. Tadi Makcik Bayah ada tanya pasal mak. Dia mintak mak datang malam ni.” Qirroh kerling Zafina Erisya yang sedang makan bagai dah tak ingat dunia.
“Iyalah. Mak pergi malam ni.” Mak Qirroh melangkah keluar rumah dari pintu dapur.
Melihat maknya dah keluar, Qirroh menghampiri Zafina Erisya yang sedang makan. Lama dia merenung wajah tu. Teringin benar untuk dia mengusap wajah yang membuatkan dia tak tidur lena. Yang selalu membuatkan hatinya meracau rindu. Yang selalu buatkan jiwanya meratap kasih tanpa luak.
“Dah la kau tenung aku. Pergi ambil pinggan teman aku makan. Lagi baik. Baru solehah. Bukan kenyang pun kau tenung aku. Dah, pergi cepat!”
Senyum terukir dibibir Qirroh. Tapi hatinya masih kelat dengan kasih yang melata dalam jiwa. Rindu yang mekar kian berduri kelopaknya. Sakit hatinya menanggung rindu yang tak mungkin berpenawar.
****
Malamnya...
Qirroh melirik maknya yang sedang bersiap-siap mahu ke rumah kenduri.
“Mak, nanti cakap ngan Ita, esok Qirroh datang awal untuk temankan dia pergi butik ngan bersolek.”
“Iye laa...” pendek maknya menyambut apa yang dipesan.
Zaf diam. Tumpuannya banyak pada game PSPnya. Perbualan Qirroh dengan maknya langsung tak di endah. Sesekali dia membelek-belek telefonnya dan jarang-jarang dia alih pandangan ke skrin televisyen.
“Kau tunggu call ke? Dari tadi aku tengok kau asyik kerling aje telefon tu.”
“Hehehe... Tak adalah. Aku saja tengok chat dari group aje,” dia sengeh.
“Mak pergi dulu Qirroh. Duduk elok-elok. Jangan dok bergaduh.” pesan mak Qirroh. Dia dah masak sangat dah dengan budak dua orang ni. Memang sentiasa ada saja agenda yang nak dibisingkan. Selalu saja riuh rumahnya kalau Zafina Erisya dan Qirroh bertemu.
“Jalan elok-elok mak.” jerit Qirroh dari muka pintu.
“Jatuh bangun sendiri yer makcik. Zaf tadak nak tolong angkat.” jerit Zafina Erisya dari dalam rumah.
Qirroh menuutup daun pintu setelah kelibat maknya tenggelam dalam pekat malam. Dia menghampiri Zafina Erisya yang sedang ralit main game. Telefon Zafina Erisya dicapai dan satu persatu application  dibuka.
“Qirroh, kenduri apa kat umah makcik kau tu?”
“Kenduri kawen.”
“Kau nanti, buat kenduri besar-besar yeh. Aku datang sebulan awal uruskan kenduri kawen kau. Dan temanya biar aku yang tetapkan.”
“Kau nak letak tema apa?” Qirroh pandang muka Zafina Erisya.
“Tema kegelapan. Duckness Theme. Huhuhu... Seramnya temanya kau Qirroh.” Zafina Erisya buat gaya yang menakutkan.
“Iye bagus. Selain seram, tema tu jugak bermaksud kegelapan kasih aku untuk kau, kan? Titik buta yang buatkan aku tergagau-gagau mencari sinar kasih disebalik hadirnya sayang aku untuk kau,” mukanya serius.
Zafina Erisya bangun dan berjalan menuju ke biliknya. Sukar untuk dia bernafas tiap kali Qirroh bercakap pasal hal tu. Entah bagaimana untuk dia fahamkan Qirroh. Dia tak mampu untuk menyambut kasih tu. Bukan tak mampu, tapi sememangnya dia tak boleh. Mereka sehaluan. Penampilannya saja yang berlainan.
Zafina Erisya terlentang atas katil sambil memandang kipas yang berputar. Hatinya resah. Sukar dari jangkaan sungguh untuk dia selesaikan perkara ni. Perlahan-lahan dia pejamkan matanya.
Qirroh mengeluh sendirian diruang tamu rumahnya. Telefon Zafina Erisya yang masih ditangannya dibelek lagi. Dia mengeluh lagi. Kemudian dia bangun. Kakinya ringan menapak masuk ke bilik Zafina Erisya. Niatnya mahu sekadar menjengah.
Dari muka pintu dia melihat Zafina Erisya lena-selenanya bagai baby yang kekenyangan lepas menyusu. Dia melangkah masuk. Wajah tu diamati sepuas hatinya.
‘Kenapa kau yang bertakhta dihatiku? Kenapa kehadiran kau sering membuatkan hati aku berdenyut? Kenapa kau yang mencuit kamar hati ku? Kenapa? Kenapa kau?” bertalu soalan yang terbit dari bibir Qirroh. Air matanya berderai tanpa sedar. Terduduk dia dibirai katil menahan sebak.
“Qirroh? Kenapa ni? Kenapa kau nangis?” Zafina Erisya terbangun bila telinganya menangkap bunyi esakkan tangis. Dia melihat tangan Qirroh yang masih menggenggam telefon miliknya.
“Qirroh? Kenapa ni? Kau sakit?” Perlahan-lahan dia turun dari katil dan duduk disebelah Qirroh. Dagu Qirroh diangkat perlahan-lahan dan wajah tu dipandang sayu.
“Kau kenapa ni? Cakap kat aku, yeh.” lembut dia bersuara.
Tanpa kata yang lahir, Qirroh terus memeluk Zafina Erisya. Bertambah kuat esakkan tangis Qirroh. Biarlah malam ni dia lepaskan segala yang terkurung. Huraikan segala yang terbuku. Agar tiada lagi sesak yang sering buatkan dia senak.
Zafina Erisya biarkan saja Qirroh. Biar Qirroh lepaskan segalanya.
“Menangis la kau Qirroh. Lepaskan semua.”
“Aku sayangkan kau. Terlalu sayangkan kau.”
“Iyer, aku tahu.”
Bila esakkan Qirroh dah semakin berkurang, Zafina Erisya leraikan pelukan.
“Zaf, aku tak tahu kenapa hati aku ni terlalu sayangkan kau. Mengasihi kau. Aku  bukan tak sedar akan natijah dalam hubungan ni. Tapi aku tak kuat untuk menolak degupan yang hadir untuk kau.” Qirroh tunduk memandang lantai. Air matanya masih menitis.
“Qirroh, maafkan aku atas keterlanjuran ni. Bukan niat aku untuk mencuit hati kau. Bukan niat aku untuk buat kau sengsara. Aku juga rintih dan lirih melihat keadaan kau. Hati aku sedih dan pedih melihat air mata kau gugur kerana aku. Aku betul-betul tak sangka begitu lara hati dan jiwa kau. Maafkan aku Qirroh.” jemari Qirroh digenggam erat.
“Aku juga bersalah Zaf. Tak kuat melawan rasa yang terbenih ni. Aku heret kau dalam situasi yang kau sendiri tak pernah akur. Dalam ombak perasaan aku sendiri. Aku bersalah Zaf.”
“Qirroh, sudah la... Fikirkan pasal Afiq. Lelaki yang amat menyayangi dan mengasihi kau. Kasihnya jujur untuk kau. Terimalah dia seadanya.”
“Zaf, beritahulah bagaimana harus aku lunturkan kasih yang dah terlukis dalam kanvas hati aku ni? Kasih yang wujud pada kali pertama aku mengenali kau. Kali pertama aku terpandang kau. Jika aku terima kasih Afiq sekalipun, belum tentu aku dapat mencantas perasaan ni. Kau tahu Zaf, mengenali kau, aku telah pelajari segalanya. Aku belajar erti kasih, erti sayang dan erti rindu. Kehadiran kau membuat aku faham erti degup yang berdendang.” dia mengangkat mukanya memandang wajah bersih Zafina Erisya.
“Qirroh, sekali lagi aku minta maaf. Aku bukan untuk kau. Telah diciptakan seseorang untuk kau dan juga aku. Mungkin Afiq adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk kau. Carilah dia dalam timbunan kasih yang kau hadirkan untuk aku. Pasti disebalik timbunan tu kau akan menjumpai pintu kasih kau untuk Afiq.”
Qirroh diam. Pandangannya dialih ke arah lain. Menatap wajah Zafina Erisya, menambah ribut dalam hatinya. Dapatkah dia melupakan Zafina Erisya. Gadis tomboy yang penuh keceriaan, sengal, senget, mereng dan gila-gila. Boleh dikatakan semua rencah ada dalam diri gadis tegap dan macho tu.  Gadis tomboy yang telah mencuit hati kecilnya. Hati yang dah lama usang untuk disemai dengan kasih dan sayang.
“Qirroh, mungkin hadir aku telah mengajar kau semua tu. Tapi semestinya yang wujud tu bukan untuk aku. Tapi untuk kau curahkan pada orang lain. Orang yang selayaknya untuk kau. Berilah kehormatan yang selayaknya untuk kasih dan sayang kau. Jangan kau merendah-rendahkannya dengan meletakkan ia ditempat yang salah. Kau faham apa yang aku cakapkan ni?” wajah Qirroh dicari.
“Aku faham la sengal. Hehehe... Zaf, aku tak mungkin melupakan kau. Dalam hati aku ni sentiasa wujud kasih untuk kau walau secebis. Tak akan aku biarkan terpadam api rindu yang menyala untuk kau. Kau dengar tak kata aku?” walaupun hadir senyum dibibir Qirroh tapi pahitnya sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
“Aku dengar la, mek semek. Hahaha... Aku harap lepas ni kau boleh manage slowly hati kau tu. Jangan biar ia ditawan oleh nafsu keinginan untuk berkasih. Kau gunalah akal kau untuk menilai setiap desakkan dan keinginan hati dan jiwa kau dalam membuat keputusan,” Dia senyum. Dia dapat lihat mendung yang keruh pekat kini sedang berarak pergi. Ada sedikit kelegaan dalam hatinya. Kerisauan kian surut.
“Kau dah ok ke?”
“Dah.”
“Meh aku nak dengar degup jantung kau. Ada lagi tak irama yang menyebut nama aku.” kenakalan mula muncul disebalik keseriusannya tadi.
“Ishh... Kau ni. Tak payah nak buat pening sengal kau tu. Kang aku tarik balik keputusan untuk terima Afiq, baru kau terngadah.”
“Eh-Eh, apa kes main ugut-ugut ni. Janji yang dimeterai dengan lafaz kata mana boleh diundur atau ditarik balik. Bak kata pemuitis, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata perlu dikota. Hahahaha...”
“Ooii! Asal pelik aje kau punya kata-kata puitis. Aku rasa tu peribahasa la... bukan puitis. Ish, ish... Kalau dah datang mereng dia tu, memang tak boleh nak kata apa dah la,” Qirroh geleng kepala.
“Hehehe... Nak buat macam mana, aku ni special sikit. Didatangkan khas ke bumi dengan rencah yang sebegitu. Jadi kau perlu terima aku sebagai kawan kau seadanya diri aku. Deal my lovely girlfriend?” dia tayang sengeh.
“Iyer la... Kau tu memang special. Hehehe... Esok jom ikut aku pergi rumah kenduri. Kita jadi pengapit pengantin. Deal my lovely tomboygirl?”
“Kau panggil aku apa?” dia bulatkan matanya.
“Hahahaha...” Qirroh ketawa besar.
“Hudohnya kau gelak macam tu. Dah rupa macam jerangkung. Weh, aku sudi ikut kau. Tapi kau jangan bocorkan pada sesiapa, siapa aku. Faham?”
Ketawa Qirroh makin menjadi-jadi. Lucu betul dihatinya bila Zafina Erisya buat mata besar gitu padanya.
“Sudah la dengan gelak kau! Kau dengar tak pesan aku?” suaranya sedikit meninggi.
“Aku dengar la. Hahaha...”
“Ooii! Kuat betul kau gelakkan aku. Nanti kau.” Zafina Erisya melihat sekeliling dan ternampak singletnya yang belum dibasuh. Dia sengeh.
“Qirroh! Nah cium singlet terhangit dipasaran! Hahaha...” dia terus bangun melarikan diri. Tahu dah dia, kalau tunggu memang cari nahas la...
Hingar bingar rumah tu dengan aksi kejar mengejar Zafina Erisya dengan Qirroh. Ada saja kenakalannya yang membuatkan Qirroh naik bengang. Hatinya lapang sekarang. Harapnya Qirroh tak lagi mengharap kasih darinya. ‘Qirroh kasih kau untuk aku hanyalah satu persinggahan sebelum kau menemui kasih mutlak yang dah ditakdirkan untuk kau. Bersabarlah kau dalam menantinya’ kata-kata tu terbisik dalam hatinya untuk gadis yang bernama Aqilya Syaqirroh.
Sekian...

0 comments:

Post a Comment

Blues tetap dihati © 2008 Template by:
SkinCorner